SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad perlu menjelaskan secara terperinci peringkat pimpinan Umno Selangor yang perlukan perubahan.
Ketua Pembangkang Dun Selangor, Datuk Mohd Shamsudin Lias berkata, ini kerana ada proses yang perlu dilalui mengambil contoh peringkat ketua bahagian kerana mereka dipilih parti pada sidang perwakilan.

“Tun M perlu jelaskan siapa yang perlu ditukar. Kalau nak tukar ketua bahagian misalnya, ia melibatkan masalah kerana mereka ini dipilih daripada perwakilan.

“Jika hendak tukar boleh tapi kena tunggu sesi akan datang kerana mereka ini dipilih melalui proses undi. Jika buat sekarang akan timbul masalah dan juga libatkan kos,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, teguran terdahulu Tun M diterima sebagai ‘wake up call’ untuk Umno Selangor lebih bekerja keras menjelang PRU14.

“Kita akui Umno Selangor perlu lebih agresif untuk menunjukkan kepada rakyat perjuangan kita adalah yang lebih baik. Kita juga dalam usaha melatih pimpinan pelapis muda untuk menerajui Umno akan datang,” katanya.