Yusoff   Yusoff
ALOR SETAR - Kerajaan disaran mansuhkan beras subsidi Super Tempatan (ST)15, dalam usaha membanteras penyelewengan dalam pengagihan kuota beras itu kepada golongan sasaran yang dikesan berlaku sejak lebih lima tahun lalu.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusoff Ismail berkata, penyelewengan itu antara punca bekalan ST15 tiada di pasaran atau sering mengalami kelewatan untuk diagihkan kepada peruncit.

“Perkara ini saling berkait rapat. Saya sarankan tidak perlu lagi kategorikan beras kepada ST5, ST10 atau ST15, hanya buat satu kategori ST5 dan selaraskan harga yang sesuai untuk semua golongan masyarakat kerana ia makanan ruji,” katanya.

Menurutnya, dengan cara ini, subsidi dibekalkan kerajaan tidak dapat di manipulasi pihak tertentu.

Kegagalan beras disalurkan
Yusoff berkata, 30,000 tan beras ST15 gagal disalurkan kepada rakyat dengan nilai subsidi berjumlah RM12 juta dipercayai mengalami ketirisan setiap bulan.

“Hanya 10,000 tan beras daripada 40,000 tan dibekalkan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) kepada pemborong pada harga subsidi RM1,350/tan berada di pasaran. Selebihnya 30,000 tan dijual pihak tidak bertanggung jawab kepada pihak ketiga untuk pembungkusan semula,” katanya.

Menurutnya, pemborong hantu atau pihak ketiga itu mengaut keuntungan atas angin apabila setiap  satu tan beras dijual pada harga RM400.

“Pemborong itu pula jual kepada pengilang atau pihak ketiga yang membuat pembungkusan semula dengan menggunakan beg kampit ST10 dan ST5, sedangkan beras dimasukkan adalah ST15. Beras itu kemudian dijual kepada pengguna di pasaran,” katanya.

Perlu kawal selia
Yusoff berharap, Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memantau dan membuat siasatan berikutan isu ini pernah beberapa kali didedahkan sejak beberapa tahun lalu.

“Kerajaan perlu sedar bahawa penyelewengan ini memang wujud namun tidak pasti di peringkat mana. Daripada subsidi kerajaan itu diseleweng, lebih baik dimansuh terus agar tidak ada pihak akan terus mengambil kesempatan, terhadap beras subsidi ini,” katanya.

Menurutnya, sasaran kerajaan mengagihkan ST15 kepada golongan sasaran dilihat gagal, ekoran wujudnya penyelewengan ini seterusnya menyebabkan bekalan tiada di pasaran.

“Harga beras subsidi ialah RM2,100/tan, kerajaan memberi subsidi sebanyak RM750/tan, menyebabkan pemborong hanya perlu beli pada harga RM1,350/tan.

Namun kita kesal apabila subsidi itu disalah guna dengan menjual semula pada harga RM1,750/tan, iaitu untung atas angin RM400,” katanya.


Cadangan pek beras
Bagaimana pun, katanya kerajaan boleh mewujudkan dua pek 10kg dan 5kg beras ST5, dengan harga tawaran RM20 dan RM10, setelah nilai subsidi (RM750/tan) disalurkan ke dalam kategori berkenaan.

“Saya yakin kerajaan mampu tawarkan harga terbaik dan serendah itu kepada pengguna, jika hanya wujud satu kategori beras,” katanya.

Yusoff berkata, setakat semalam, iaitu dua minggu pertama November, kuota bulan ini belum diagihkan kepada pemborong menyebabkan stok tiada di pasaran.

“Saya terima aduan daripada pemborong, kuota mereka dikurangkan sedikit demi sedikit. Contohnya, bekalan 250 tan dikurangkan kepada 100 tan. Difahamkan kouta yang ditarik itu diletakkan bawah kuota khas untuk diagih pada pemborong terpilih,” katanya.

Menurutnya, pengguna turut membuat aduan wujudnya peruncit yang mahu mengaut keuntungan segera dengan menjual kesemua bekalan pada harga lebih tinggi kepada pemborong, menyebabkan kehabisan stok.